Pindaan Perlembagaan Persekutuan Artikel 1(2) satu ‘perangkap’ — Tiong

Datuk Seri Tiong King Sing

KUCHING, 5 April: Datuk Seri Tiong King Sing telah menyifatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan Artikel 1(2) oleh Kerajaan Pusat sebagai ‘perangkap’ kerana butiran kandungan termasuk cukai dan sumber belum dijelaskan dengan mendalam.

Presiden Progressive Democratic Party (PDP) itu melahirkan rasa terkilan dengan kandungan pindaan tersebut, sambil menyifatkan tindakan Kerajaan Pusat sebagai cubaan untuk menafikan hak rakyat Sarawak melalui “agenda gelap”.

“Tuntutan rakyat dan Kerajaan Sarawak sebenarnya sangat adil, iaitu pindaan penuh berdasarkan status Persetujuan Malaysia 1963 (MA63).

“Saya tidak fikir Kerajaan Pusat akan memahaminya. Tindakan mereka sangat mengecewakan, lebih-lebih lagi permintaan ini hanya permintaan kecil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiong, merangkap Ahli Parlimen Bintulu, meminta ahli-ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan terus teguh dalam menuntut hak Sarawak atas dasar MA63.

“Kita akan bertarung dengan gigih dan tidak akan membiarkan diri kita ditipu,” katanya.

Jelas beliau, kesan kewangan dalam pindaan perlembagaan tersebut, iaitu semakan semula undang-undang melibatkan belanja kewangan tambahan kerajaan dan jumlah yang relevan, belum ditentukan pada tahap ini.

Ini seolah-olah membolehkan Sarawak dikawal secara fizikal sepenuhnya oleh Malaya, katanya.

Tambah beliau lagi, pindaan yang dibaca buat kali pertama (oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong di Dewan Rakyat) semalam dianggap tidak lengkap.

Tiong menganggap Kerajaan Pusat hanya menyusun semula kandungan perlembagaan yang sedia ada.

“Kerajaan Pusat mesti mengikut MA63 untuk meminda Senarai Tambahan, Senarai Negeri dan senarai serentak, supaya Sarawak mempunyai autonomi besar, cukai perlombongan gas, pendidikan, agama, bahasa, cukai, perubatan, imigrasi dan lain-lain,” jelas beliau.

Tiong juga menyeru agar semua ahli-ahli Parlimen Sarawak bersatu dalam menyuarakan kehendak rakyat Sarawak bagi memastikan hak Sarawak tidak terus terhakis.

“Saya faham bahawa DAP mempunyai banyak profesional yang berbakat, tetapi jangan gunakan ini untuk mengelirukan rakyat.

“Jangan cuba menggunakan apa-apa cara untuk mengambil alih hak-hak yang telah kita bela selama bertahun-tahun. Ini adalah hak masa depan anak-anak dan cucu-cucu kita,” kata beliau.

Beliau berpendapat bahawa amalan Kerajaan Pusat adalah jelas, iaitu di sebalik tabir, cuba mengurangkan status Sarawak dan Sabah ke salah satu daripada 13 negeri dan diasimilasikan (dengan mengambil alih) Sarawak dan Sabah ke Tanah Melayu.

Tiong juga mencadangkan agar semua pihak menggunakan sebaik-baiknya Jawatankuasa Khas mengenai Pemulihan status MA63 termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja untuk mengadakan perbincangan yang mendalam, di mana, pendapat semua pihak dapat diterima.

“Keputusan boleh dibuat berdasarkan kesepakatan di kalangan semua pihak, dan sebuah jawatankuasa khas Dewan Rakyat boleh ditubuhkan untuk mengkaji perkara ini dengan serius,” jelas beliau. — DayakDaily