Pindaan Perlembagaan Artikel 1(2) tidak menggambarkan kehendak rakyat Sabah-Sarawak

Dr Awang Azman Awang Pawi

Oleh Peter Sibon

KUCHING, 6 April: Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan Artikel 1(2) oleh Kerajaan Pusat cuma dilihat sekadar perubahan ‘kosmetik’ semata-mata dan tidak memberi kuasa hak-hak Sarawak dan Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63).

Menurut penganalisa politik dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, pindaan tersebut harus diiringi dengan peningkatan peruntukan daripada Putrajaya terhadap keperluan sebenar rakyat Sarawak dan Sabah.


“Apa yang lebih penting ialah sejauh mana kuasa membuat keputusan terletak pada Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah,” katanya kepada DayakDaily hari ini.

Tambah beliau, MA63 perlu disekalikan dengan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958, agar tuntutan hak Sarawak lebih bermakna.

“OMO 1958 memperuntukkan Kerajaan Negeri kuasa untuk mentadbir sepenuhnya minyak Sarawak dan sumber gas. Ini bermakna ordinan ini mempunyai kuasa mengawal selia aktiviti huluan di Sarawak.

“Sewajarnya, isu penerokaan minyak dan kuasa di perairan serta isu-isu yang boleh dirunding di antara Sabah, Sarawak dengan Putrajaya diselesaikan dengan lebih baik,” katanya.

Walaupun perlaksanan perlembagaan baharu ini akan melibatkan perbelanjaan tambahan Putrajaya, namun ini adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat di bawah konsep persekutuan.

Paling penting, Sarawak dan Sabah perlu diberikan perhatian dari segi pembangunan sesuai dgn keluasan geografinya, tambah beliau.

Awang Azman berkata, selain peruntukan yang lebih besar kepada Sabah dan Sarawak, jumlah ahli parlimen dan senator perlu ditingkatkan sesuai dengan keluasan negeri.

“Perubahan bersifat ‘kosmetik’ ialah perubahan sekadar di tahap mencecah permukaan sahaja tanpa memberikan kesan mendalam kepada rakyat Sabah dan Sarawak seperti kenaikan peruntukan daripada kerajaan pusat, pengembalian hak dan autonomi negeri, serta peningkatan jumlah wakil rakyat dan senator,” katanya.

Beliau juga berpendapat hak Sarawak untuk mendapat 40 peratus daripada hasil negeri ini seperti yang termaktub dalam MA63 perlu ditunaikan segera.

Awang Azman juga berkata bacaan pertama pindaan Perlembagaan Persekutuan Artikel 1(2) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong di Dewan Rakyat pada Khamis lepas (4 April) tidak menunjukkan perbezaan yang jelas untuk penduduk Sabah dan Sarawak.

“Hanya dilihat sekadar pecahan kepada (a) dan (b) dan tidak menyamai konsep Persekutuan yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Ini kelihatan seperti ‘melepaskan batuk di tangga’, tanpa perincian dan memenuhi semangat sebenar MA63. Perkara ini perlu dibawa dan dibincang di peringkat Dewan Undangan Negeri Sarawak terlebih dahulu,” tambah beliau.

Awang Azman mempersoal kenapa perkara terbabit dibawa ke Parlimen walaupun perundingan di peringkat Jawatankuasa Khas Kabinet di Putrajaya belum selesai. — DayakDaily