PGA rampas rokok dan arak seludup bernilai RM2.7 juta

Antara minuman keras yang dirampas oleh Pasukan Gerakan Am Sarawak pada 23 Okt 2020.

MIRI, 24 Okt: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenis yang disyaki diseludup bernilai lebih RM2.7 juta dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Desa Pujut 2 Permyjaya, semalam.

Komander Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Mancha Ata berkata, serbuan menerusi Ops Libas itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Sarawak dan Batalion 12 PGA pada jam 10.30 pagi.

Rumah tersebut disyaki dijadikan tempat penyimpanan rokok dan minuman keras belum lulus cukai Kastam.


“Semasa serbuan dijalankan, pasukan serbuan telah berjaya menahan dua orang lelaki yang masing-masing merupakan penjaga stor dan pekerja di rumah tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan sebanyak 10,590 karton (2,118,000 batang) rokok putih, 416 karton (688,000 batang) rokok kretek, 1,479 kotak bir (tin dan botol) dan 249 kotak minuman keras pelbagai jenama yang disimpan di dalam rumah serta dalam muatan lori yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan,” kata Mancha dalam satu kenyataan media hari ini.

Antara minuman keras yang dirampas oleh Pasukan Gerakan Am Sarawak pada 23 Okt 2020.

Tambah beliau, anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM2.7 juta merangkumi nilai rampasan rokok sebanyak RM2.1 juta (termasuk cukai), nilai rampasan bir dan minuman keras sebanyak RM479,920 (termasuk cukai), serta sebuah kenderaan bernilai RM 70,000.

Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak IPD Miri untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Sementara itu, Mancha turut berkata, sepanjang pengoperasian Op Libas sejak awal tahun sehingga 23 Okt, Briged Sarawak PGA telah mencatatkan kejayaan bernilai RM 24.5 juta dengan merekodkan sebanyak 72 kes yang melibatkan jumlah tangkapan seramai 109 orang warga tempatan dan 56 orang pendatang tanpa izin.