Tentera gagalkan cubaan seludup rokok bernilai RM95,000

Rokok yang dirampas kerana disyaki cuba diseludup.

Serian, 8 Feb: Tentera Darat Malaysia (TDM) menggagalkan cubaan menyeludup masuk 3,000 karton rokok bernilai RM95,000 malam tadi.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Sektor Pos GABMA Tebedu dekat sini, sekitar jam 12.15 tengah malam.

Katanya, dalam kejadian tersebut sepasukan anggota yang sedang menjalankan rondaan telah melihat sekumpulan individu tidak dikenali berjalan kaki membawa kotak-kotak barang melintasi sempadan menuju ke Malaysia.


‘’Sebaik menyedari kehadiran anggota pasukan, kesemua individu itu bertindak melarikan diri semasa serbuan dibuat,’’ katanya.

Dedahnya, hasil pemeriksaan menjumpai sebanyak 3,000 karton rokok iaitu ERA Full Flavour sebanyak 1,400 karton; rokok jenama ERA Black Menthol sebanyak 1,000 karton serta rokok ERA Premium sebanyak 600 karton.

Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tebedu manakala kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Kastam Tebedu untuk tindakan lanjut. — DayakDaily