7 lelaki ditahan bersama rokok, minuman beralkohol tanpa cukai bernilai RM 3.6 juta

Berbagai jenama minuman keras dirampas dalam Ops Kontraband di Miri.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 20 Mei: Seramai tujuh orang lelaki warga tempatan ditahan dalam serbuan ke atas lima buah premis berasingan di Miri dalam Ops Kontraband pada Rabu kerana disyaki terlibat dengan penjualan rokok dan minuman beralkohol tanpa cukai.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dalam kenyataan medianya, pihak polis turut merampas pelbagai minuman beralkohol dan rokok pelbagai jenama tanpa cukai yang dianggarkan bernilai RM 3,616,856.58.


Operasi tersebut dilakukan Pasukan Wildlife Crime Bereau/Perisikan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman bersama Pasukan Gerakan AM Batalion 12 Miri.

Kesemua suspek berusia 16 sehingga 47 tahun kini sedang ditahan lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

ACP Alexson turut menasihatkan orang ramai untuk tidak terlibat atau bersubahat dalam aktiviti pembelian dan penjualan barangan tanpa cukai.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan ini dan orang awam dinasihatkan untuk mendapatkan bekalan daripada pengedar yang sah serta melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak Polis,” ujarnya. — DayakDaily