PGA Batalion 11 tumpaskan cubaan seludup enam motosikal curi

Semua suspek yang ditahan bersama motosikal curi.

BAU, Jun 7: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11 berjaya menumpaskan cubaan menyeludup keluar enam buah motosikal curi ke Kalimantan Barat, Indonesia di kawasan sempadan di Padang Pan di sini hari ini.

Komander PGA Briged Sarawak, SAC Dato’ Khaw Kok Chin berkata, berdasarkan maklumat risik, satu pasukan PGA telah melakukan serbuan ke kawasan sempadan berkenaan pada pukul 1.30 petang.

Jelasnya, hasil serbuan lapan anggota PGA itu telah memberkas seorang lelaki tempatan dan enam lelaki warga Indonesia.


“Kesemua yang diberkas itu berusia antara 13 hingga 38 tahun.

“Polis turut menemui dan merampas enam buah motosikal curi pelbagai jenis dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Khaw menambah, kesemua yang ditahan termasuk motosikal yang dirampas telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan lanjut.

Katanya, nilai rampasan kesemua motosikal itu dianggarkan sebanyak RM15,000.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(3) Akta Imegresen 1959/63,” katanya. — DayakDaily