Lelaki terkena kipas bot ditemui mati lemas

Pasukan SAR menemui mayat mangsa.

KUCHING, Jun 7: Seorang lelaki warga Indonesia yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terkena ‘propeller’ atau kipas bot di Muara Sungai Tabuan di sini semalam ditemui mati lemas petang tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya, Faisal Saari berkata, mayat mangsa, Herianto Ramli, 53, dari Singkawang, Kalimantan Barat, Indonesia ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 4.58 petang.

Jelasnya, mangsa ditemui kira-kira 20 meter dari tempat dia dilaporkan hilang sebelum itu.


“Operasi SAR yang memasuki hari kedua ditamatkan sejurus selepas mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis.

“Pihak polis kemudian membawa mayat mangsa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

DayakDaily semalam melaporkan seorang lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri maut selepas disyaki terkena ‘propeller’ atau kipas sebuah bot di Muara Sungai Tabuan di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa dilaporkan hilang selepas dikatakan membuat pemeriksaan ‘propeller’ bot Ocean Glory yang rosak.

Berdasarkan laporan kapten kapal itu, dia telah menyuruh salah seorang kru kapal untuk melakukan pemeriksaan ‘propeller’ bot yang mengalami kerosakan.

Selepas membuat kerja-kerja pemeriksaan, kru kapal berkenaan kemudian naik semula ke atas sebelum kapten itu menghidupkan enjin bot terbabit.

Bagaimanapun, setelah menghidupkan enjin bot berkenaan, salah seorang kru kapal kemudian melihat terdapat kesan darah di permukaan sungai itu.

Kapten bot tersebut kemudian mengarahkan kru kapal membuat pemeriksaan sebelum mendapati mangsa tidak berada di atas dan mengesyaki mangsa telah turun dari bot dan tanpa disedari terkena kipas bot itu semasa kapten menghidupkan enjin bot. — DayakDaily