Padah lari lintas jalan, buruh kasar temui ajal dilanggar kereta

Lokasi kemalangan mangsa dilanggar kereta di Jalan Bako, Kuching.

KUCHING, Jun 8: Tindakan seorang lelaki berlari melintas jalan tanpa memerhatikan kenderaan mengundang padah apabila dia maut dirempuh kereta Proton Saga di Jalan Bako di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi itu mengakibatkan mangsa, Gelin Rangi, 41, terkorban di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, berdasarkan keterangan daripada pemandu kereta itu, mangsa yang bekerja sebagai buruh kasar dikatakan tiba-tiba berlari melintas jalan tanpa melihat kiri atau ke kanan.

Jelasnya, meskipun pemandu lelaki yang berusia 26 tahun berkenaan cuba mengelak, namun dia tetap melanggar mangsa kerana kejadian berlaku dengan pantas.

“Kesan perlanggaran tersebut telah mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepalanya.

“Petugas perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, pemandu kereta Proton Saga itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujarnya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily