Pewartaan taman negara cara kerajaan lindungi khazanah alam — Abdul Karim

Abdul Karim menunjukkan gambar tunggul laut di Taman Negara Bako.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 Feb: Mewartakan sesebuah kawasan sebagai taman negara merupakan cara kerajaan melindungi khazanah yang ada.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tuduhan mengatakan bahawa kerajaan tidak mengambil langkah untuk melindungi adalah tidak benar.


“Sebab kita mewartakan sesebuah kawasan adalah untuk menjaga khazanah-khazanah Negeri yang merupakan ikonik kawasan tersebut.

“Kita tidak mahu khazanah ini diganggu agar ia dapat dilihat oleh pelancong dan generasi seterusnya,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Abdul Karim berkata demikian sebagai menjawab tuduhan ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) Micheal Kong.

Ini berikutan kejadian batu tunggul ikonik di Taman Negara Bako yang dikenali sebagai ‘Cobra Head Sea Stack’ yang runtuh pada Isnin (12 Feb).

Kong yang juga penasihat khas kepada MP Stampin Chong Chieng Jen berkata, kerajaan Negeri dan pusat tidak mengambil tindakan yang sewajarnya bagi melindungi khazanah tarikan pelancong.

Dalam pada itu, Abdul Karim memaklumkan bahawa kejadian tersebut adalah disebabkan fenomena alam.

Katanya, fenomena alam seperti gelombang besar mengakibatkan batu tunggul tersebut semakin kecil sehingga ia runtuh.

“Kenyataan Micheal bahawa kita tidak jaga adalah tidak benar—ini lebih kepada tujuan politik.

“Kita tidak dapat melawan ketentuan tuhan,” ujar Abdul Karim.

Sementara itu, Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook semalam memaklumkan kejadian itu dilaporkan pertama kali oleh seorang pemandu taman negara terbabit pada 4 petang Isnin.

Menurut SFC, kejadian ombak besar baru-baru ini adalah kemuncak yang menyebabkan kejadian runtuhan, susulan daripada hakisan yang berlaku sejak berjuta tahun lalu di pantai Sarawak.

Tunggul laut ini merupakan satu daripada khazanah geologi negara, yang terbentuk daripada batu pasir melalui proses hakisan selama berjuta tahun lalu. — DayakDaily