JPJ tidak beri kelulusan kepada BJAK beri perkhidmatan pembaharuan cukai jalan

JPJ Logo

KUCHING, 6 Mei: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak pernah memberikan kelulusan kepada pihak BJAK Sdn Bhd (BJAK) untuk menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan.

JPJ memaklumkan bahawa kenyataan yang telah dipaparkan oleh pihak BJAK melalui laman sesawang mereka iaitu ‘Pembaharuan roadtax secara dalam talian di BJAK telah diaudit, disah dan diluluskan oleh JPJ’ adalah tidak benar dan mengelirukan orang awam.

“Jabatan ini juga telah menerima beberapa aduan daripada orang awam, antaranya pembaharuan cukai jalan telah dilaksanakan melalui laman sesawang BJAK, namun tempoh sah laku cukai jalan tidak dikemas kini.


“Jabatan ini ingin menjelaskan dan menegaskan bahawa tiada integrasi sistem di antara Sistem JPJ (MySIKAP) dengan sistem yang digunakan oleh pihak BJAK,” kata JPJ dalam kenyataan hari ini.

Menurut JPJ, jabatan juga telah menerima aduan ketidakpuasan hati orang awam yang mana perlu membayar caj tambahan ketika memperbaharui cukai jalan yang dikenakan oleh BJAK.

Katanya, JPJ menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah meluluskan sebarang pengenaan caj tambahan yang pada masa ini dikenakan oleh BJAK kepada pelanggan mereka.

“Jabatan ini sekali lagi ingin menegaskan bahawa pengoperasian yang dilakukan oleh pihak BJAK berkaitan urus niaga pembaharuan cukai jalan adalah tanpa kebenaran dengan pihak JPJ,” katanya.

Sementara JPJ dalam kenyataan yang sama menggalakkan urus niaga memperbaharui cukai jalan adalah melalui kaunter JPJ, kios JPJ, kaunter bergerak JPJ Mobile, Aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ.

Ia juga boleh dilakukan menerusi platform rakan niaga JPJ seperti Pos Malaysia, MyEG dan PUSPAKOM. — DayakDaily