Projek dokumentasi tanah wajib ada kad identifikasi

Sebahagian daripada operator yang menerima ID kad. Foto: UKAS

KUCHING, 6 Mei: Memiliki kad identifikasi untuk setiap operator dalam kerja dokumentasi Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Lot Pertanian dan Lot Kediaman adalah wajib, kata Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Cawangan Serian Dr Chali Ungang.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Chali berkata, ia bagi mengelak berlakunya kes penipuan yang dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

“Selepas ini setiap operator wajib membawa kad bagi menunjukkan bahawa kehadiran mereka mendokumentasi tanah di kampung tidak lagi diragui.


“Operator wajib membawa kad mereka bersama dan setiap kerja lapangan nanti harus dirujuk kepada DBNA pusat di Kuching.

“Peranan dan tanggungjawab operator sangat penting kerana tanpa mereka, kerja mendokumentasi tanah tidak akan berjaya dilaksanakan di kawasan Bidayuh sejak 2009 yang lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penyerahan ID Kad Kepada Operator di Dewan Santapan Dewan Masyarakat Serian pada Ahad.

Justeru, Chali sangat berharap projek dokumentasi tanah NCR di kawasan Bidayuh diteruskan tanpa gangguan dan bantahan lagi.

Hadir sama Timbalan Pengerusi DBNA Cawangan Serian, Dr Clarance Jerry serta tetamu lain. — DayakDaily