Peruntukan keseluruhan PICK adalah RM5.8 bln, kata Khairy

Khairy Jamaluddin

KUCHING, 28 Julai: Peruntukan keseluruhan bagi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak RM5.8 bilion.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin, sebanyak RM4.8 bilion disalurkan kepada Kementerian Kesihatan manakala RM1 bilion disalurkan kepada MOSTI.

Katanya, pada 7 Disember tahun lalu Kerajaan memperuntukan sejumlah RM3 bilion bagi tujuan perolehan vaksin sahaja iaitu untuk hanya 70 peratus penduduk Malaysia.


“Pada masa tersebut, anggaran RM3 bilion ini diperolehi menerusi simulasi yang telah dijalankan dengan mengambil kira jangkaan harga purata vaksin-vaksin Covid-19 yang sedang dibangunkan ketika itu.

“Selain itu juga, anggaran RM3 bilion ini juga adalah tidak termasuk kos-kos lain yang perlu ditanggung bagi pelaksanaan PICK,” katanya pada penerangan PICK di Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.

Seterusnya tambah Khairy, peruntukan tambahan sehinga RM5 bilion bagi pelaksanaan PICK telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 18 Januari yang lalu di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).

Katanya, pelaksanaan PICK ketika itu dijangka bermula pada bulan Mac 2021 dengan penambahan jumlah dos vaksin yang mencukupi bagi 120 peratus populasi negara.

Manakala pada 28 Jun yang lalu, Perdana Menteri menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sekali lagi mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM800 juta.

Jumlah dos vaksin ditingkatkan kepada 130 peratus populasi Malaysia bagi tujuan stok penimbal serta mempercepatkan pelaksanaan PICK.

“Peruntukan RM800 juta ini juga adalah termasuk tambahan bayaran 26 elaun daripada RM50 kepada RM100 sehari bagi sukarelawan bukan kesihatan.

“Ia turut diperluas kepada mereka yang bertugas di lapangan selain PPV selain kadar pembayaran elaun khas kepada petugas barisan hadapan kesihatan yang terlibat dalam PICK daripada RM200 ringgit kepada RM600,” kata Khairy. — DayakDaily