Malaysia antara negara dengan kadar vaksinasi terpantas di dunia — Khairy

Khairy Jamaluddin - file pic

KUCHING, 28 Julai: Kadar vaksinasi per kapita di Malaysia kini adalah antara yang terpantas di seluruh dunia, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Semasa memberi penerangan mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) di Mesyuarat Khas Parlimen hari ini, beliau berkata ia berdasarkan statistik yang dikeluarkan menerusi laman web Our World in Data yang dikendalikan oleh University of Oxford.

Katanya, peratusan penduduk Malaysia yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada semalam mengatasi beberapa negara maju seperti Jepun, Australia, Korea Selatan dan New Zealand


“Kadar vaksinasi harian juga telah mencatatkan jumlah tertinggi pada hari semalam apabila sebanyak 553,871 dos berjaya diberikan di seluruh Malaysia dengan seramai 356,112 orang adalah penerima dos pertama manakala 197,759 orang lagi adalah penerima dos kedua.

“Catatan semalam juga menyaksikan pemberian vaksin harian mencapai angka melebihi 500 ribu suntikan bagi dua hari berturut-turut. Pada Isnin yang lalu (26 Julai), sebanyak 521,923 dos vaksin telah diberikan.

“Ini menjadikan jumlah bagi pemberian vaksin untuk dua hari ini adalah sebanyak 1,075,794 dos dengan penambahan penerima dos pertama sebanyak dua peratus populasi Malaysia atau bersamaan 692,733 orang,” katanya.

Menerusi Pick, tambah Khairy, kadar vaksinasi harian di seluruh negara mencapai purata sebanyak 150 hingga 160 ribu suntikan dos sehari menjelang Jun dan jumlah ini akan terus meningkat pada suku ketiga 2021.

Bagi bulan Julai, sasaran purata yang telah ditetapkan adalah sebanyak 300 ribu suntikan dos sehari.

Sehingga semalam, jelas beliau, purata yang telah dicapai sepanjang bulan Julai adalah sebanyak 378 ribu dos 21 sehari.

“Ini bermakna, telah berlaku peningkatan sebanyak 124 peratus apabila dibandingkan kadar purata antara bulan Jun dan purata bulan Julai sehingga hari semalam.

“Sebagai perbandingan peningkatan kadar vaksinasi, pemberian vaksinasi semenjak permulaan Pick pada Februari sehingga bulan Jun yang lalu adalah sekitar lapan juta dos, tetapi untuk bulan Julai ini sahaja, sehingga ke hari ini, pemberian vaksin telah melebihi 10 juta dos,” ujar Khairy. — DayakDaily