Permohonan status Pribumi ditentukan oleh Unit Pentadbiran di Jabatan Premier Sarawak

Norleha (empat dari kanan) menerima borang permohonan status Pribumi daripada seorang pemohon di perjumpaan tersebut.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 1 Nov: Kelulusan bagi permohonan status Pribumi dibawah Ordinan Tafsiran (Pindaan) 2022 yang berkuatkuasa hari ini ditentukan oleh Unit Pentadbiran di Jabatan Premier Sarawak.

Menurut Residen Kuching Norleha Shariff, penilaian kepada setiap permohonan dibuat pada setiap 15 hari bulan.


Katanya, dalam tempoh 3 hingga 7 hari bekerja, permohonan yang dihantar ke mana-mana Pejabat Daerah akan disemak dan disahkan oleh Pegawai Daerah serta Residen.

“Selepas itu, kita akan hantar kepada Unit Pentadbiran di Jabatan Premier Sarawak bagi semakan semula dan dinilai samada diluluskan atau tidak.

“Dan pada setiap 15 hari bulan mereka akan mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; kelulusan dibuat di mesyuarat ini,” kata Norleha ketika ditemui.

Terdahulu beliau mengadakan perbincangan bersama rombongan persatuan, pertubuhan dan ketua masyarakat yang diketuai oleh Dato Ose Murang di Pejabat Residen Kuching di sini hari ini.

Sekiranya diluluskan, tambah Norleha, Unit Pentadbiran di Jabatan Premier Sarawak akan mengeluarkan sijil status Pribumi Sarawak kepada pemohon.

Permohonan untuk pengiktirafan sebagai Pribumi Sarawak boleh dibuat di mana-mana Pejabat Daerah di Sarawak, dengan bayaran RM100 bagi setiap permohonan.

“Selaras dengan peruntukan Ordinan Tafsiran (Pindaan) 2022, kriteria kelayakan bagi mana-mana orang untuk diiktiraf sebagai Pribumi Sarawak ialah dia mestilah warganegara Malaysia, anak kandung yang dilahirkan oleh seseorang daripada kaum Pribumi Sarawak dan salah seorang ibu atau bapanya adalah seorang daripada kaum asli Sarawak,” kata Norleha. — DayakDaily