Permohonan pengambilan pekerja Bangladesh dibuka mulai 28 Jan 2022

Ismail Sabri mempengerusikan mesyuarat NACCOL hari ini.
Advertisement

KUCHING, Jan 31: Permohonan pengambilan pekerja asing daripada Bangladesh telah dibuka secara berperingkat mulai 28 Januari 2022.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan ini telah dibuat dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada hari ini.

Mesyuarat terbabit yang turut dihadiri Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah membincangkan isu bekalan dan pengeluaran makanan terutamanya bagi ayam dan telur ayam.

Advertisement

Selain pengurangan harga maksimum runcit untuk ayam standard menjadi RM8.90, Kerajaan juga akan membuka permit import ayam bulat kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) termasuk pengusaha pasar raya besar (hypermarket).

Di samping itu, kerajaan juga akan melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) seluruh negara secara maksimum bagi membantu Keluarga Malaysia mendapatkan barangan asas pada harga lebih murah.

Ismail turut berpandangan bahawa pelaksanaan Kedai Harga Patut perlu diaktifkan semula di seluruh negara serta menambah kekerapan operasi pasar tani di satu-satu kawasan.

“Koperasi yang terlibat dalam industri pertanian akan turut dilibatkan untuk menawarkan barangan asas tanpa melibatkan orang tengah untuk mengawal harga,” ujarnya. ― DayakDaily

Advertisement