Harga siling ayam standard kini turun menjadi RM8.90, harga telur ayam semua gred kekal

Ismail Sabri mempengerusikan mesyuarat NACCOL manakala Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi (kiri) turut kelihatan di dalam gambar.

KUCHING, Jan 31: Harga maksimum runcit baharu bagi ayam standard ditetapkan menjadi RM8.90 manakala harga telur ayam semua gred kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) bermula 5 Feb sehingga 5 Jun 2022.

Hal ini menunjukkan pengurangan sebanyak 20 sen daripada harga siling yang ditetapkan untuk ayam standard.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan ini telah dibuat dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai Industri Pengeluaran Makanan untuk membincangkan isu bekalan dan pengeluaran makanan terutamanya bagi ayam dan telur ayam.


“Tindakan proaktif perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan harga kekal berpatutan, namun dalam masa sama industri penternakan ayam tidak terjejas dan sekali gus dapat memastikan bekalan kekal stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebanyak empat kertas telah dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pertanian dan Asas Tani serta Kementerian Pengangkutan dalam mesyuarat tersebut.

Selain itu, kerajaan juga telah memutuskan pemberian subsidi bagi memastikan harga barangan dapat dikawal seperti SHMKM.

“Perincian subsidi ini akan dilakukan oleh Pasukan Khas Mengenai Kos Sara Hidup Negara yang akan diketuai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta beberapa kementerian, wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan persatuan pengguna sehingga harga kembali stabil,” katanya.

Ismail Sabri turut memberitahu permit import ayam bulat dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport ayam, berbanding sebelum ini mereka hanya dibenarkan mengimport keratan ayam seperti kepak, paha dan lain-lain.

Mesyuarat juga bersetuju AP mengimport ayam dibuka kepada pengusaha pasar raya besar (hypermarket).

Keputusan-keputusan lain termasuk mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) membuat siasatan sekiranya wujud kartel dalam pakatan menentukan harga ayam dan telur dan meminta Kementerian Kewangan mengkaji insentif cukai untuk transformasi ladang ternakan ayam.

Tambahnya, langkah-langkah jangka panjang untuk mengurangkan tekanan kenaikan harga barang turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Antaranya menyokong penyelidikan yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menjadikan isi rong kelapa sawit bagi menggantikan jagung dan soya sebagai makanan ayam, mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk memanjangkan tempoh penggunaan tanah di bawah lesen pendudukan sementara (TOL) bagi aktiviti pertanian serta jaminan bekalan makanan bukan hanya mencukupi tetapi kemampuan Keluarga Malaysia untuk membeli.

Pelan tindakan jangka panjang ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam mesyuarat NACCOL akan datang. — DayakDaily