Perjalanan umrah ditangguh sementara bermula 8 Jan 2022

Khairy Jamaluddin

KUCHING, 1 Jan: Kebenaran perjalanan ibadah umrah telah ditangguhkan buat sementara waktu bermula 8 Jan 2022 susulan penularan varian Omicron dalam negara.

Berikutan itu, tidak ada perjalanan mengerjakan umrah selepas 7 Jan 2022 sehingga tarikh yang dimaklumkan kelak.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keputusan ini telah dibuat dalam Mesyuarat Khas Kuartet yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan kemudiannya dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

ā€œTempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuatkuasa 1 Jan 2022.

ā€œJemaah umrah yang pulang ke Malaysia bermula 3 Jan 2022 akan menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenalpasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

ā€œBagi jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci pada 1 hingga 7 Jan 2022, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan. Mereka bagaimanapun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti oleh pihak Nadma apabila tiba di Malaysia,ā€ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, penilaian risiko situasi Covid-19 varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah.

Bagi jemaah umrah yang akan pulang ke Malaysia, mereka perlu melakukan ujian pengesanan Covid-19 rt-PCR dua hari sebelum tarikh berlepas dan hari ketibaan serta menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian selama 7 hari di stesen kuarantin.

Sekiranya bergejala, mereka harus melakukan ujian pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK antigen, melakukan ujian rt-PCR pada hari ke-5, dan hanya akan diberi pelepasan dari perintah pengawasan dan pemantauan pada hari ke-8 sekiranya tiada pelanjutan kuarantin dan keputusan ujian adalah negatif.

Bermula pada 13 Okt 2021, kumpulan pertama jemaah umrah dari Malaysia telah berlepas ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah dan SOP khas bagi tujuan mengerjakan umrah telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 18 Okt 2021.

Sehingga 30 Dis 2021, seramai 11,108 jemaah umrah telah tiba di Malaysia dan 1,306 daripadanya atau 11.76 peratus telah dikesan positif Covid-19.

Pada 31 Dis 2021, dua lagi kes Covid-19 disahkan varian Omicron, menjadikan jumlah keseluruhan varian ini adalah sebanyak 64 kes. Daripada 64 kes Omicron ini, sebanyak 32 kes (50 peratus) dikesan dalam kalangan jemaah umrah. ā€• DayakDaily