Dua lelaki ditangkap sambut Tahun Baru 2022 dengan dadah di Bau

Kedua-dua suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

BAU, 1 Jan: Dua lelaki sambut tahun baharu 2022 di bawah pengaruh dadah ditangkap dalam sekatan jalan raya di Jalan Bau-Serikin.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata kedua-dua suspek berusia 19 dan 28 dari Kampung Sebiris, Lundu ditahan kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan dan disyaki mengambil dadah berbahaya.
Katanya mereka ditahan sekitar jam 12.10 tengah malam.
“Kedua-dua suspek diperiksa tubuh badan dan tiada sebarang bahan atau dadah berbahaya ditemui.
“Kedua-dua suspek bagaimanapun mengaku ada mengambil dadah berbahaya menyebabkan mereka kemudian ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, saringan awal air kencing juga mendapati mereka positif dadah.
Kedua-dua mereka kini ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Seorang daripada suspek juga didapati memiliki rekod jenayah lampau,” katanya. — DayakDaily