Perincikan inti pati sebenar Pejanjian Malaysia 1963, tegas DTTAS

Wellie Henry Majang

KUCHING, 11 April: DTTAS mahu inti pati MA63 dijelaskan dengan lebih terperinci dan bukannya sekadar bahagian luaran sahaja.

Ia bagi memastikan pemahaman Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dari sudut hak dan perundangan kepada Sarawak mampu difahami rakyat di negeri ini.

Pengasas Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Wellie Henry Majang dan presidennya Elias Lipi Mat dalam satu kenyataan bersama berkata, perkataan ‘wilayah’ yang digunakan untuk Sabah dan Sarawak tidak memberi sebarang implikasi kepada status sebenar kedua-dua negeri tersebut.


Sebaliknya, kata mereka, ia seperti memberi nama baharu kepada dua negeri itu sebagai sebuah wilayah namun statusnya masih kekal sebagai salah satu negeri dalam Persekutuan Malaysia.

“Kita umum Sabah dan Sarawak sebuah wilayah, tetapi roh dan inti pati sesebuah wilayah itu tidak ada.

“Apakah yang akan berubah dengan pengisytiharan ini dan apakah status kita dalam persekutuan?” kata mereka.

Jelas mereka, dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak masih dikenali sebagai ‘negeri’ bersama negeri-negeri lain seperti Kelantan, Pahang, Terengganu dan Perlis.

Oleh yang demikian, satu-satunya cara untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai ‘rakan kongsi’ dalam pembentukan Malaysia adalah melalui pembentangan Rang Undang-undang Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Kata mereka, status asal Sabah dan Sarawak sebagai ‘Rakan Kongsi’ harus dipulihkan kembali kepada kedua-dua negeri itu seperti yang dipersetujui pada 1963 kerana penurunan statusnya kepada sebuah ‘negeri’, yang terjadi pada 1976 tidak harus berlaku.

“Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan adalah untuk memulihkan status Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam MA63.

“Pindaan ini memenuhi hasrat dan tujuan iaitu memberi pengiktirafan bahawa Sabah dan Sarawak bukan hanya negeri setara dengan mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia, tetapi memulihkan statusnya sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia,” kata mereka.

Tambah Wellie dan Elias, salah satu tuntutan penting yang menjadi asas rakyat Sabah dan Sarawak bersetuju membentuk Malaysia adalah tuntutan yang menjamin hak istimewa Orang Asal Sabah dan Sarawak.

Ujar mereka, tuntutan penting itu termaktub dalam Perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istemewa Orang Asal Sabah dan Sarawak.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita sekarang untuk memastikan keluhuran perlembagaan kembali dijunjung dan kedaulatan undang-undang terbina kukuh,” kata mereka. — DayakDaily