Polis Miri tahan dua pemuda disyaki mencuri basikal mewah

Kelihatan dua lelaki warga tempatan ditahan polis untuk siasatan.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 11 April: Dua lelaki warga tempatan ditahan polis tengahari tadi kerana disyaki terlibat kegiatan mencuri basikal mewah di beberapa kawasan di sini.

Kedua-dua suspek berusia 19 dan 23 tahun itu ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri sekitar jam 2.30 petang tadi di tepi jalan Pujut Corner.


Difahamkan, kedua-dua suspek hanya sempat menunggang beberapa jam dua buah basikal mewah yang dipercayai dicuri sebelum ditahan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, tangkapan kedua-dua suspek membawa kepada penemuan dua buah basikal perbagai jenama dipercayai hasil daripada kegiatan jenayah yang dilakukan.

Antara basikal yang dirampas adalah sebuah basikal jenis ‘road bike’ jenama Trink, sebuah basikal jenis ‘mountain bike’ jenama Trink, sebuah basikal jenis folding bike jenama Mangoes dan sebuah basikal jenis ‘fat bike’ jenama Mangoes.

Kesemua rampasan bernilai RM9,000.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. — DayakDaily