Perbezaan takrifan had umur belia tidak jejas kerjasama baik Kerajaan Pusat dan Negeri

Karim bercakap kepada pemberita di Kuching.

Chris Bishop

KUCHING, Julai 15: Sarawak tidak perlu membuat pindaan takrifan umur belia kepada 15 hingga 30 tahun seperti yang dilaksanakan Kerajaan Pusat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ada sebab Sarawak mengekalkan takrif umur belia dari 15 hingga 40 tahun.


Katanya, banyak program bantuan telah disediakan untuk golongan B40 (bawah 40 tahun) dan pindaan yang dilaksanakan akan menyebabkan ramai golongan belia tidak layak menerima bantuan.

“Kita lihat banyak program untuk golongan B40, seperti bantuan untuk belia yang ingin terlibat dalam sektor pertanian dan menjadi usahawan muda.

“Bantuan ini diberikan kepada mereka yang dibawah umur 40 tahun. Jikalau kita pinda takrifan umur belia kepada 15 hingga 30 tahun maka ramai yang akan tidak layak,’katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis menandatangai perjanjian kerjasama antara SCB (Sarawak Convention Bureau) dan MACEOS (The Malaysian Association of Convention and Exhibition Organisers and Suppliers) di salah sebuah hotel disini, hari ini.

Namun demikian, Karim menegaskan perbezaan takrif umur belia itu tidak akan menjejaskan hubungan baik kementerian beliau dengan kementerian yang sama di peringkat pusat.

Menurut beliau, kerjasama erat itu telah wujud sekian lama dan tetap akan diteruskan.

“Walaupun Sarawak masih kekalkan takrif umur belia dari 15 hingga 40 tahun, bukan bererti kita tidak boleh jalinkan kerjasama yang baik.

“Hubungan baik dengan kementerian belia dan sukan di peringkat pusat masih kekal samada dari segi penganjuran sukan dan penggunaan fasiliti selain usaha membangunkan belia.

“Kita akan memastikan isu umur ini tidak akan menggagalkan kerjasama antara kerjaan pusat dan negeri,’katanya.

Dewan Rakyat baru-baru ini telah meluluskan RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia(Pindaan) 2019, menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Ia dibentangkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selain Sarawak, Kerajaan Johor juga telah menetapkan pendirian mengekalkan takrif had umur belia dari 15 hingga 40 tahun.— DayakDaily