KUCHING, Feb 16: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais) menyambut baik saranan agar Golongan Anak Istimewa (OKU) untuk mempunyai platform dalam talian sendiri untuk mempamerkan dan memasarkan produk mereka.
Presidennya Rapelson Richard Hamit berkata, platform itu nanti dapat membantu peniaga OKU memasarkan produk mereka secara atas talian secara individu.
“Selain itu, OKU yang menjalankan perniagaan kraftangan, makanan dan peruncitan boleh menjalankan perniagaan dengan menerima tempahan secara talian dan penghantaran melalui pos dan boleh menjalankan operasi perniagaan dari rumah.
“Di samping itu, ianya boleh membantu OKU untuk menjana pendapatan sampingan bagi OKU yang bekerja untuk menambah pendapatan mereka” kata Rapelson.
Tambah beliau, geran ekonomi dan perniagaan atau peruntukan khas untuk peniaga OKU juga harus diperincikan untuk memastikan peniaga OKU boleh meneruskan peniagaan mereka.
Katanya, kursus dan latihan mengenai e-dagang juga harus diberikan kepada OKU yang mengikuti platform berkenaan di mana untuk memperkasakan OKU mengenai kefahaman dan pengetahuan mengenai e-dagang.
“Pemantauan daripada kementerian dan inisiatif daripada OKU itu sendiri adalah penting dalam menjayakan platform ini bagi mewujudkan peniaga OKU yang berjaya dan bagi menjayakan platform berkenaan,” tegas Rapelson.
Beliau memberikan maklum balas kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun yang menyatakan bahawa platform itu yang bakal dibangunkan kementerian itu bertujuan menyediakan platform alternatif untuk golongan OKU.
Ia bagi menjana pendapatan golongan OKU serta dapat memperkenalkan produk mereka secara individu. — DayakDaily