KUCHING, 23 JAN: Persatuan Anak Istimewa Sarawak(PERAIS) memohon agar Bengkel Seri Sarawak di Kota Samarahan dinaiktaraf menjadi Akademi Orang Kurang Upaya(OKU).
Presidennya Rapelson Richard Hamit berkata, akademi itu nanti seharusnya diletakkan di bawah Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak(KWKPK).
“Akademi itu nanti haruslah diurus oleh OKU sendiri di samping memberi pekerjaan kepada OKU dan melatih OKU untuk menjadi tenaga pengajar.
“Ia juga harus menyediakan kursus vokasional, keusahawanan dan pertanian yang bersesuaian dengan keperluan pekerjaan kepada pelatih OKU.
“Kompleks latihan OKU juga harus dibina untuk tujuan ini” kata Rapelson menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Emban Utik dan Donny Sa yang merupakan pekerja OKU di Bengkel Seri Sarawak, Akademi OKU yang dicadangkan harus menyediakan peluang latihan untuk semua peringkat.
Kata mereka, ia bukan semata-mata untuk OKU lepasan SPM sahaja namun harus dibuka juga untuk OKU yang tiada sijil sekolah dan buta huruf.
Emban adalah NaiB Setiausaha manakala Donny adalah Timbalan Presiden PERAIS.
Baru-baru ini Menteri KWKPK Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, Pusat Latihan OKU bakal diwujudkan di Sarawak.
Ia untuk memudahkan golongan tersebut melanjutkan pendidikan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia(SPM).-DayakDaily