Uggah: Pematuhan SOP Market Bandar Riyal 99 peratus

Uggah memeriksa buku pendaftaran pelanggan semasa lawatan di Market Bandar Riyal, Kota Samarahan.

KUCHING, 23 Jan: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berhubung Covid-19 yang dilaksanakan di Market Bandar Riyal, Kota Samarahan.

Beliau, yang mengadakan lawatan ke market tersebut pada pagi ini, berkata pematuhan SOP berkenaan adalah di tahap 99 peratus.

“Kita melihat bagaimana SOP dikuatkuasakan dengan orang ramai mengamalkan penjarakan fizikal, mengambil suhu badan selain mendaftar nama pada buku pendaftaran atau merekod MySejahtera.


“Hari ini saya berpuas hati dengan penguatkuasaan SOP di market ini dengan pematuhan sangat tinggi, lebih 99 peratus.

“Pelanggan-pelanggan yang datang juga mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka dan ini menunjukkan rakyat Sarawak sedar akan peranan mereka dalam membantu memerangi pandemik Covid-19,” kata Uggah ketika ditemui.

Tambah beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), maklumat yang dicatat pada buku pendaftaran atau direkod melalui imbasan kod MySejahtera adalah penting dalam menangani Covid-19.

Baru-baru ini katanya Sarawak telah mendedahkan senarai kawasan atau premis yang dilawati kes positif Covid-19 dan ia adalah untuk pengetahuan umum.

“Tujuan kita mendedahkan senarai tempat yang dilawati oleh kes termasuk tarikh dan waktu adalah untuk makluman orang ramai.

“Mereka yang berada di tempat tersebut pada tarikh dan waktu tersebut hendaklah segera ke hospital atau pusat kesihatan untuk menjalani saringan,” kata Uggah.

Ujar beliau lagi, kerajaan tidak bermaksud untuk menyusahkan pemilik premis (perniagaan) dengan pendedahan senarai tersebut.

Jelas Uggah, kerjasama daripada semua pihak adalah perlu dan seperti yang berlaku di Sibu, lebih 10,000 sampel telah diperolehi melalui ujian saringan.

“Ini adalah semangat yang kita galakkan, orang ramai sedar akan risiko dan segera melakukan ujian saringan,” kata Uggah. — DayakDaily