Penyelia ditipu RM1,500 terpedaya skim pinjaman tidak wujud

PDRM logo.
Advertisement

Oleh Dean Adam

BINTULU, Mac 22: Seorang penyelia kerugian RM1,500 selepas tertipu dengan iklan pinjaman kewangan yang diiklankan dalam laman sosial Facebook (FB).

Lelaki berusia 30 tahun itu dikatakan tertarik dengan satu iklan pinjaman kewangan dalam FB pada 5 Mac lepas.

Advertisement

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata mangsa yang terpedaya dengan sindiket pinjaman peribadi itu kemudian memberikan nombor telefonnya kepada syarikat tersebut.

Katanya, lelaki terbabit dikatakan berminat membuat permohonan sebanyak RM13,000 sebelum dihubungi oleh seorang lelaki kononnya dari syarikat pinjaman tersebut.

“Suspek kemudian minta dokumen peribadi milik mangsa bagi tujuan mengisi kelayakan permohonan pinjaman tersebut.

“Pada masa sama, suspek kemudian telah meminta bayaran daripada mangsa bagi memudahkan urusan proses pinjaman,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, mangsa kemudian membuat bayaran secara berperingkat ke dalam akaun suspek.

Katanya, mangsa mulai sedar dirinya ditipu selepas membuat bayaran sehingga RM1,500, namun masih belum menerima duit pinjaman seperti yang dipohon.

“Suspek membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily

Advertisement