Penurunan umur pengundi kepada 18 tahun tiada masalah bagi GPS

Abdul Karim (dua kanan) menunjukkan poster acara Best of Asean Designers 2019 pada sidang media.

KUCHING, 17 Julai: Penurunan umur pengundi di negara ini dari 21 kepada 18 tahun tidak akan mendatangkan masalah kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjelang pilihan raya negeri ke-12.

Naib presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata ia terpulang kepada semua parti politik di Sarawak untuk meraih sokongan pengundi berusia 18 tahun ke atas termasuk GPS dan Pakatan Harapan.

“Ia tidak menjadi masalah kepada kami (di Sarawak). Saya tidak boleh mengatakan itu (pengundi 18 tahun ke atas) akan memberi kelebihan kepada GPS, kerana setiap parti akan mahukan pengundi baru ini sebagai penyokong mereka.


“Terutama sekarang, dengan adanya pendaftaran secara automatik pengundi berumur 18 tahun,” katanya ketika mengadakan sidang media mengenai acara “Best of Asean Designers 2019” di Bangunan Baitulmakmur, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata demikian ketika mengulas mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan di Dewan Rakyat Selasa lepas untuk menurunkan umur pengundi dari 21 ke 18 tahun.

Beliau juga mengatakan GPS menyokong penurunan umur pengundi tersebut. Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga telah bertemu dengan Ahli Parlimen GPS sebelum persidangan untuk menyatakan sokongan terhadap pindaan yang diberi nama “Undi 18”.

“Kami akan menyokong penurunan umur itu dengan syarat pendaftaran pengundi itu akan dilakukan secara automatik,” kata Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Beliau bagaimanapun tidak pasti samada pengundi berusia 18 tahun ke atas akan mula mengundi pada pilihaan raya negeri akan datang.

Segalanya akan bergantung kepada bila pindaan terbabit diwartakan di Parlimen dan tarikh ianya mula dikuatkuasakan, katanya.

“Tiada siapa dapat mendakwa mereka ada kelebihan terhadap pengundi berusia 18 tahun ke atas.

“Kamu tahulah pada usia 18 tahun, kalau kamu tidak mendekati mereka dan berhubung dengan mereka, mereka ini tidak akan mengenali kamu. Jadi semua perlu turun padang dan ini perkara baik,” katanya.

Abdul Karim berkata selain itu, di Malaysia, umur dewasa ialah 18 tahun dan di usia mendapatkan lesen memandu, berkahwin, membeli rumah dan menandatangani kontrak. Oleh itu, tiada sebab untuk menolak penurunan umur pengundi dari 21 kepada 18 tahun.

Sementara itu, Best of Asean Designers 2019 akan mempamerkan koleksi unik dari 21 pereka fesyen dari Asia Tenggara dan China yang dianjuran Creative Teamlab dengan kerjasama with Asean Fashion Designers Showcase di bandar raya ini dari 6 hingga 8 September depan. — DayakDaily