Penunggang motosikal meninggal dunia, berlanggar dengan lori

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Oleh Juetila Ozzy

MUKAH, 31 Mac: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia selepas terlibat kemalangan membabitkan sebuah lori di Kilometer 134, Jalan Sibu-Bintulu hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu mengesahkan mangsa dikenali sebagai Adam Abdullah berusia 44 tahun dan berasal dari Rumah Gansau, Sungai Arip, Balingian.


Jelasnya, mangsa semasa kejadian menunggang motosikal seorang diri dari arah Selangau menuju ke Tatau iaitu sekitar jam 11.30 pagi.

“Setiba di lokasi kejadian, sebuah lori juga dari arah sama dikatakan membelok ke arah kanan untuk masuk ke satu simpang dan dilanggar oleh mangsa.

“Siasatan awal mendapati mangsa semasa kejadian sedang cuba memotong lori berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Mukah untuk tindakan selanjutnya.

“Manakala pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Siasatan kes dibuka di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. -DayakDaily