Covid-19: 3,288 kes baru dan 14 kematian

Dr Noor Hisham

KUCHING, 10 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) memaklumkan bahawa terdapat 3,288 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 3,283 kes tempatan dan 5 kes import.

ā€œKes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 251,064 kes.

ā€œDengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 52,186 kes,ā€™katanya menerusi satu kenyataan.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,757 kes. Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 408 kes dan Johor sebanyak 369 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,929 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 198,495 kes atau 78.9 daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 285 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) termasuk 131 kes memerlukan bantuan pernafasan,”katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan 14 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 923 kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan 5 kes di Selangor, 4 kes di Sabah, 2 kes di Johor, dan masing-masing 1 kes di Kedah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan Putrajaya.

“Kesemua kes melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,”ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat 11 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini, yang melibatkan 7 kluster berkaitan tempat kerja dan masing-masing 2 kluster melibatkan komuniti dan kumpulan berisiko tinggi.-DayakDaily