Tiga hospital pakar di Sarawak dijadikan setara hospital negeri – Aaron

Aaron (kanan) menyampaikan Anugerah Pencapaian Cemerlang Diploma Pembantu Perubatan kepada Marina Puras.

SAMARAHAN, 1 Okt: Kementerian Kesihatan mensasarkan sebanyak tiga hospital pakar di Sarawak untuk dijadikan setara dengan hospital negeri.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Aaron Aro Dagang berkata, tiga hospital tersebut ialah Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu dan Hospital Miri.

“Dalam hal ini juga, sebanyak tiga hospital bukan pakar juga disasarkan untuk dinaik taraf kepada hospital pakar minor.


“Ini membabitkan Hospital Serian, Hospital Mukah dan Hospital Lawas dengan sasaran 10 orang pakar di setiap hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian di Istiadat Konvokesyen 2022 Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia di DeTar Putra Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini.

Tambah Aaron, satu Jawatankuasa Khas bertujuan memantapkan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak telah diwujudkan.

Katanya, jawatankuasa itu menguruskan perihal hospital usang dan daif, kekurangan pakar perubatan, dan kemudahan pusat rawatan psikiatri.

Ia juga termasuk perolehan tanah bagi fasiliti kesihatan, pemfluoridaan bekalan air, bekalan elektrik di fasiliti kesihatan dan kekurangan pakar perubatan.

“Bagi meningkatkan kualiti fasiliti kesihatan, Kerajaan akan membina sebanyak enam projek pembinaan hospital dan klinik di Sarawak membabitkan projek tambahan bangunan, kelengkapan perubatan dan kuarters kakitangan.

“Sehingga kini, Hospital Sri Aman sudah siap, manakala lima projek lagi yang membabitkan kos sebanyak RM695.5 juta iaitu di Miri, Mukah, Kuching dan Serian, dijangka siap tahun hadapan,” katanya.

Menurut Aaron, Kementerian Kesihatan juga mensasarkan sebuah klinik kesihatan menyeluruh membabitkan perkhidmatan radiologi, rehabilitasi, pergigian dan pakar perubatan keluarga dibina di 16 daerah di Sarawak.

Di samping itu katanya, Kerajaan bercadang membangunkan sebuah Pusat Rawatan Kanser yang terletak bersebelahan dengan Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan.

“Pembangunan Pusat Rawatan Kanser ini memerlukan kos yang besar.

“Kita harap Pusat itu nanti menyediakan perkhidmatan utama seperti Radioterapi dan Onkologi, Perubatan Nuklear, Pembedahan Onkologi, Hematologi, perkhidmatan diagnostik seperti Patologi dan Radiologi,” ujar Aaron. — DayakDaily