Pengurus, penjaga pusat hiburan ditangkap kerana gagal kemuka lesen perniagaan

Serbuan yang dijalankan ke atas premis berkenaan.

KUCHING, 28 April: Dua lelaki dipercayai pengurus dan penjaga sebuah pusat hiburan di Jalan Tabuan Tranquility di sini, ditangkap kerana disyaki premis beroperasi tanpa lesen.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata suspek ditahan dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 1 pagi, hari ini.

Katanya, semasa pemeriksaan dilakukan, didapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan lesen perniagaan untuk pusat hiburan.

Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan 2000 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek kini ditahan reman di lokap IPD Kuching bermula 28 April (hari ini) sehingga 1 Mei. — DayakDaily