Penjenamaan semula Pekan Tondong sebagai pusat budaya etnik cina — Harry

Harry (depan) mengadakan lawatan ke Pekan Tondong (Jan 10, 2023).

By Chris Bishop

BAU, 10 Jan: Penganjuran aktiviti berkaitan budaya etnik Cina dipilih menjadi penjenamaan semula Pekan Tondong yang telah wujud sejak zaman perlombongan emas di Bau dahulu.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai Dan Laut) Dato Henry Harry Jinep, ia bakal menjadi tarikan baharu kepada pengunjung dalam dan luar negara.


Katanya, kejayaan Pekan Siniawan yang dikenali di peringkat antarabangsa menerusi ‘Cowboy Nights’ harus dicontohi.

“Kita mesti cari penjenamaan semula bagi Pekan Tondong. Kalau Siniawan ada aktiviti malam cowboy, di sini kita boleh anjur aktiviti berkaitan etnik Cina.

“Cadangan kita adalah orkestra Cina, kita bawa penyanyi dari seberang (Kalimantan) untuk meningkatkan aktiviti sosio ekonomi di kawasan Tondong.

“Ini bakal menjadi tarikan baharu,” katanya ketika ditemui selesai Majlis ‘Soft Launching’ Jambatan Konkrit Tondong – Sebuku di Balai Raya Tondong di sini, hari ini.

Sebagai permulaan, tambah Henry, Pekan Tondong harus diaktifkan dengan mewujudkan gerai-gerai menjual makanan dan minuman.

Beliau yang juga Adun Tasik Biru yakin pengunjung akan datang bila gerai-gerai diwujudkan selain memerlukan sedikit masa seperti ketika membangunkan Pekan Siniawan dahulu.

“Dan kita memerlukan orang muda yang suka berniaga. Sudah tentu pembukaan jalan Tondong – Sebuku membantu merancakan Pekan Tondong.

“Apabila kita ada Pekan Tondong, Pekan Siniawan dan Tasik Biru yang vibran, ia mewujudkan satu rantaian yang memberikan pilihan kepada pengunjung,” ujar Henry.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa deretan tiga bangunan kedai lama di Pekan Tondong akan dikekalkan.

Katanya, struktur kayu bangunan lama tersebut kini menjadi satu warisan negeri.— DayakDaily