Penjawat awam rugi RM550 terpedaya dengan iklan pinjaman tidak wujud

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay
Advertisement

Oleh Dean Adam

MUKAH, April 27: Seorang penjawat awam kerugian RM550 selepas terpedaya dengan sindiket pinjaman tidak wujud yang diiklankan dalam laman Facebook (FB).

Kejadian yang dilaporkan semalam itu melibatkan seorang wanita yang berusia 36 tahun.

Advertisement

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata berdasarkan laporan diterima, mangsa telah melayari laman FB sebelum ternampak iklan pinjaman wang berlesen.

Katanya, mangsa yang berminat kemudian berhubung dengan seorang wanita kononnya dari syarikat pinjaman wang tersebut melalui aplikasi WhatsApp.

“Selepas berbalas mesej dengan suspek, mangsa kemudian diarahkan untuk membuat pembayaran pertama sebanyak RM550 melalui transaksi perbankan dalam talian ke akaun Hong Leong Bank.

“Jumlah semua yang diminta suspek adalah sebanyak RM1,776 untuk pendahuluan tiga bulan pinjaman,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, mangsa yang mula mengesyaki dirinya telah ditipu kemudian tidak lagi membuat sebarang pembayaran.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya dan kes ini masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily

Advertisement