Angkara panik, peniaga berputih mata selepas lesap wang RM135,000

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

SIBU, Sept 4: Gara-gara panik kononnya terlibat dalam kes jenayah, seorang peniaga wanita berputih mata selepas lesap wang sebanyak RM135,000 akibat terperdaya dengan sindiket ‘Macau scam’.

Sumber memberitahu, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan menerima panggilan dari Mahkamah Perlis pada 18 Ogos lalu yang mendakwa wanita itu terlibat dalam kes langgar lari di Perlis.


Katanya, mangsa seterusnya menafikan dia terlibat dalam kes tersebut sebelum sekali lagi didakwa terbabit dalam kes pengedaran dadah.

“Suspek kemudian memaklumkan mangsa akan diperintahkan ke mahkamah dan akaunnya akan dibekukan. Mangsa yang panik kemudian mengikut arahan suspek dengan melakukan pindahan wang secara dalam talian sebanyak RM15,000 pada 26 Ogos,” katanya di sini, hari ini.

Sumber menambah, pada hari berikutnya, mangsa memasukkan wang sebanyak RM120,000 ke dalam akaun bank yang diarahkan oleh suspek.

Mangsa akhirnya merasakan dirinya ditipu selepas suspek sekali lagi meminta dia memasukkan wang berjumlah RM30,000, sebelum dia membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit, mengesahkan menerima laporan kes penipuan ‘Macau scam’ itu,

Jelas beliau, kes tersebut masih lagi dalam siasatan. — DayakDaily