Sebanyak 66 kes ‘parcel scam’ melibatkan kerugian RM3.4 juta dilaporkan tahun ini

Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah

Oleh Dean Adam

KUCHING, Ogos 27: Sebanyak 66 kes sindiket penipuan ‘parcel scam’ melibatkan kerugian RM3.4 juta direkodkan di Sarawak tahun ini setakat 26 Ogos.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata sepanjang tahun lalu (2018), sebanyak 102 kes dilaporkan dengan membabitkan kerugian melebihi RM5.8 juta.


Tegas beliau, sebanyak 10 tangkapan telah dibuat bagi tempoh sepanjang tahun lepas, manakala bagi tempoh tempoh 1 Januari hingga 26 Ogos tahun ini, sebanyak 15 tangkapan berjaya dilakukan.

“Pihak polis masih menjalankan risikan untuk membanteras dan menggempur sindiket parcel scam pada tahun ini,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terperdaya dan menjadi mangsa.

Katanya, orang ramai perlu berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan panggilan telefon dan mesej palsu oleh mana-mana individu yang menyamar sebagai pegawai polis, pihak kastam, pihak syarikat kurier dan rakan kenalan yang baru dikenali di media sosial dan sebagainya.

“Orang ramai yang melayari media sosial terutamanya Facebook, Instagram, WhatsApp, Wechat, Twitter dan lain-lain dinasihatkan agar sentiasa peka dan tidak mudah menjadi mangsa sindiket penipuan parcel scam,” katanya.

Tambahnya, anggota masyarakat yang mempunyai apa-apa kemusykilan atau berkemungkinan telah ditipu boleh menyalurkan maklumat melalui WhatsApp atau SMS ke Commercial Crime Investigation Department (CCID) Infoline di talian 013-2111222.

Katanya, mereka juga boleh melayari portal rasmi http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/# untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan (financial fraud) seumpamanya.

Selainn itu, orang ramai juga boleh hubungi pihak Bank Negara Malaysia melalui telefon 1-300-88-5465 (LINK); 082-224200 (BNM Kuching); atau email: bnmtelelink@bnm.gov.my. — DayakDaily