Lelaki dilaporkan hilang semasa memburu ditemui selamat

Kelihatan mangsa (baju hitam) ditemui selamat.

Oleh Dean Adam

LAWAS, April 27: Seorang lelaki yang dikhuatiri hilang selepas keluar memburu di kawasan hutan Sungai Lutuk, Long Sukang, dekat sini ditemui selamat semalam.

Mangsa, Kawas Meripa, 46, ditemui di Simpang Stamping Berayong kira-kira pukul 12 tengah hari.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.30 petang.

Anggota bomba dan penduduk kampung yang terlibat dalam operasi mencari mangsa.

Jelasnya, hasil maklumat awal, mangsa dipercayai memburu bersama seorang rakannya di kawasan hutan di situ.

“Bagaimanapun, mangsa tidak pulang ke rumah, manakala rakannya balik ke kampung. Risau dengan situasi tersebut, penduduk kampung kemudian berusaha mencari mangsa,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, semasa ditemui mangsa dalam keadaan selamat, namun keletihan.

Katanya, mangsa terus dibawa ke Hospital Lawas oleh penduduk kampung untuk rawatan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan selepas mangsa menerima rawatan di hospital,” ujarnya. — DayakDaily