Wanita lesap RM20,000 ditipu Macau scam

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

KUCHING, Ogos 29: Seorang wanita yang bertugas di Hospital Umum Sarawak kerugian RM20,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau scam.

Berdasarkan laporan yang diterima, mangsa yang berusia 26 tahun dikatakan diperdayakan suspek lelaki yang mengatakan dari Mahkamah Terengganu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata sebelum itu mangsa menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa
mangsa mempunyai tunggakan kad kredit berjumlah RM10,000 dan perlu diselesaikan segera.

Namun katanya, mangsa menafikan dia terlibat dalam kes berkenaan.

“Kemudian suspek meminta mangsa membuat laporan polis kerana kad kredit mangsa telah digunakan oleh orang lain untuk kes dadah dan penggelapan wang.

“Suspek seterusnya hantar gambar laporan atas nama dan nombor kad pengenalan
mangsa melalui WhatsApp dan mangsa diberitahu akan dihubungi pihak Bank Negara yang akan menghantar nombor TAC,” katanya di sini, hari ini.

Mustafa Kamal menambah, selepas nombor TAC diperolehi, mangsa diarahkan untuk memberikan nombor TAC itu kepada suspek.

Katanya, suspek turut meminta nombor akaun mangsa tetapi mangsa enggan memberikan kepada suspek.

“Mangsa berasa pelik dengan permintaan suspek telah memeriksa baki akaun dan mendapati wang berjumlah RM20,000 telah lesap dari akaunnya,” katanya. — DayakDaily