Penjawat awam berputih mata ditipu ‘Macau scam’

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

KOTA SAMARAHAN, Jan 26: Seorang penjawat awam wanita terpaksa berputih mata selepas kerugian RM29,997 akibat ditipu sindiket ‘Macau scam’

Kejadian menimpa mangsa berusia 28 tahun itu dilaporkan berlaku semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata berdasarkan laporan diterima, mangsa telah menerima panggilan telefon dari nombor 018-5933382 yang mengatakan beliau mempunyai bayaran tertunggak kompaun saman trafik.

Katanya, mangsa kemudian diminta menekan angka 9 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Selepas menekan angka 9, talian telefon kemudian telah disambungkan kepada seorang lelaki yang mengatakan mangsa mempunyai saman yang tertunggak.

“Mangsa kemudian menafikan mempunyai saman tertunggak tetapi lelaki itu mengatakan dia akan membuat semakan semula dan akan hubungi mangsa lagi,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, tidak lama kemudian mangna terima panggilan telefon dari nombor 09-9940204 di mana seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Sarjan Fahmi mengatakan mangsa mempunyai rekod jenayah trafik.

Ujarnya, lelaki itu turut mengatakan dia sedang menyiasat mangsa kerana telah terlibat di dalam kes langgar lari di Jalan Tuan Ibrahim bersebelahan Hospital Jeli, Kelantan.

“Suspek kemudian memberi tekanan kepada mangsa dan mengatakan ibu bapa budak lelaki yang dilanggar mahu dakwa mangsa sebagai pemandu kereta yang terlibat dalam kejadian itu.

“Suspek sama turut mengatakan salinan Mykad mangsa telah digunakan untuk menyewa kereta yang terlibat kes langgar lari tersebut,” katanya.

Mustafa memberitahu, selepas itu, talian telefon telah disambungkan kepada seorang Inspektor yang mengatakan mempunyai kuasa budi bicara untuk membatalkan waran tangkap ke atas mangsa.

Katanya, Inspektor itu kemudian mengatakan semua akaun milik mangsa akan dibekukan dan mangsa akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang Malaysia.

“Kemudian mangsa telah merayu supaya tidak dikenakan tindakan serta akaun beliau tidak dibekukan.

“Inspektor itu kemuiduan memberitahu ada cara untuk mangsa tidak dikenakan tindakan iaitu dengan membayar wang ikat jamin sebanyak RM42,000.

“Mangsa kemudian memberitahu dia mempunyai RM30,000 di dalam akaun simpanannya.

“Mangsa yang takut telah bersetuju untuk membayar wang berjumlah RM30,000 sebelum dia menyedari telah ditipu,” katanya. — DayakDaily