Peniaga ‘online’ rugi RM54,000 gara-gara hendak pinjam RM40,000

Supt Maria Rasid

BINTULU, 16 Dis: Seorang peniaga dalam talian (‘online’) produk kesihatan mengalami kerugian RM54,000 gara-gara hendak meminjam RM40,000 daripada sebuah institusi pemberi pinjaman wang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Supt Maria Rasid berkata wanita berusia lewat 20an itu telah tertarik dengan tawaran pinjaman wang dari sebuah syarikat mengelarkan diri mereka ‘Syarikat Lucky Bright Trading’ di laman Facebook pada 8 Disember lepas.

Katanya, mangsa kemudian telah menghubungi seorang lelaki daripada syarikat tersebut untuk membuat permohonan pinjaman berjumlah RM40,000.


“Mangsa kemudian diarahkan suspek membuat pembayaran melalui 14 kali transaksi pemindahan wang yang keseluruhannya kira-kira RM54,000 ke dua akaun bank atas nama individu yang berbeza antara 11 hingga 15 Disember sebagai bayaran pemprosesan pinjaman.

“Mangsa kemudian menyedari dirinya ditipu apabila suspek meminta lagi bayaran tambahan, namun wang pinjaman masih tidak diperolehi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, suspek kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian di balai polis berhampiran.

“Anggota masyarakat diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan tawaran pinjaman melalui media sosial dan sebagainya.

“Buatlah pinjaman melalui istitusi kewangan, koperasi atau pemberi pinjaman wang berlesen sekiranya mempunyai masalah kewangan,” kata Maria. — DayakDaily