Peniaga jual daging rusa palsu

Azman Adam (file pic)
Advertisement

KUCHING, 12 Okt: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengambil tindakan ke atas seorang peniaga yang disyaki menjual daging rusa palsu secara dalam talian.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada seorang pengguna berkaitan pembelian ke atas daging yang disyaki bukan daging rusa sebenar seperti yang dipromosikan oleh peniaga terbabit.

“Bertindak ke atas aduan itu, pihak KPDNHEP telah menjalankan siasatan dan melakukan uji beli daging rusa tersebut dan sampel daging rusa itu telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk ujian kecerakinan.

Advertisement

“Hasil laporan kimia mendapati sampel daging tersebut adalah daging kerbau berdasarkan DNA yang dikesan melalui sampel itu dan bukan daging rusa seperti yang dipromosikan oleh peniaga terbabit kepada pengguna melalui perniagaan dalam taliannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan daripada laporan tersebut, sepasukan anggota penguatkuasa KPDNHEP telah bertindak melakukan serbuan ke atas premis peniaga terbabit di Bandar Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, Selangor.

Hasil pemeriksaan telah menemukan beberapa ketul daging sejuk beku yang dinyatakan daging rusa oleh pemilik premis di dalam sebuah peti sejuk beku dalam bentuk ketulan seberat 1 kilogram setiap satunya.

“Kesemua daging tersebut bersama dokumen-dokumen perniagaan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM7,004.

“Siasatan awal mendapati, modus operandi peniaga terbabit adalah menjual dan mengiklankan daging rusa sejuk beku secara dalam talian untuk pasaran tempatan pada harga RM42 sekilogram,” katanya lagi.

Satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(1)(b) Larangan Perihal Dagangan Palsu iaitu membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang-barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan, Akta Perihal Dagangan (APD) 2011. — DayakDaily

Advertisement