SIBU, 7 Feb: Seorang peniaga mengalami kerugian sekitar RM132,330 selepas terpadaya membuat pelaburan ‘Bitcoin’ sejak September tahun lepas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata lelaki berusia pertengahan 60an itu mulanya tertarik dengan pelaburan tersebut yang menggunakan aplikasi ‘DDEX’.
“Pada pertengahan September 2023, mangsa telah menerima mesej melalui Facebook dan telah ditawarkan pelaburan wang kepada mangsa.
“Mangsa yang berminat dengan pelaburan tersebut kemudian belajar mengenainya melalui dalam talian dan dijanjikan keuntungan selepas 3 hingga 4 jam membayar deposit wang yang dilakukan dalam aplikasi DDEX,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sejak dari hari tersebut sehingga November 2023, mangsa telah melakukan 22 transaksi pembayaran melalui pemindahan wang secara atas talian ke empat akaun bank berbeza.
“Keseluruhan wang telah dipindahkan oleh mangsa ialah RM132,330.
“Hasil daripada pelaburan tersebut, mangsa mendapat keuntungan menggunakan matawang USD dan wang keuntungan tersebut telah dikreditkan ke akaun aplikasi ‘DDEX’,” katanya.
Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila wang keuntungan tersebut tidak dapat dikeluarkan kerana dia perlu membuat pembayaran deposit atau jaminan terlebih dahulu.
Laporan polis kemudian dibuat oleh mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. — DayakDaily