Penguatkuasaan sempadan diperketatkan, waspada hadapi ‘musuh’ bersenjata

Aidi menyaksikan serah terima tugas di antara Mat Zani (kanan) dengan Zulfikar.

KUCHING, 27 Nov: Penguatkuasaan di sempadan Sarawak-Kalimantan tetap diperketatkan dan lebih berwaspada untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, tiada ancaman seperti kes penyeludupan bersenjata dilaporkan setakat ini.

Malah katanya Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Polis Marin mempunyai pasukan khas memantau kegiatan penyeludupan di sempadan dan perairan negara menerusi  ‘Ops Benteng’ dan ‘Ops Khazanah’.


“Bagaimanapun, kita tidak boleh mengambil ringan perkara yang berlaku di sempadan Malaysia-Thailand baru-baru inj dan kita akan terus memastikan anggota-anggota melakukan kawalan sempadan sentiasa bersiap sedia menghadapi apa sahaja ancaman,” katanya pada satu sidang media, di sini hari ini.

Beliau selain itu memberitahu banyak kes-kes di sempadan negara yang berjaya diselesaikan seperti penyeludupan rokok dan minuman keras.

Terdahulu Aidi menyaksikan upacara serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak yang baharu SAC Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali dengan ACP Zulfikar Mohd Ghazali yang memangku jawatan tersebut sebelum ini.