Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 cadang lantikan 5 ahli JAC tidak dibuat Perdana Menteri

Tuanku Muhriz (kanan) mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara.

KUCHING, 30 Nov: Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mencadangkan agar pelantikan lima ahli-ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak dibuat oleh Perdana Menteri.

Dalam Perutusan di Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara hari ini, Tuanku Muhriz melihat proses pelantikan hakim di Malaysia pada masa ini mempunyai kelemahan dan boleh diperbaiki.

“Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) memainkan peranan utama dalam mengemukakan cadangan pelantikan hakim.


“Oleh itu, keanggotaan JAC adalah kritikal untuk memastikan JAC terus berkemampuan mengemukakan nama-nama hakim yang berintegriti dan berkaliber,” kata Baginda.

Menurut Tuanku Muhriz, JAC pada masa ini mempunyai sembilan anggota keahlian.

Kata Baginda, empat ahli JAC merupakan hakim yang sedang memegang jawatan terkanan manakala lima lagi ahlinya merupakan individu yang dilantik oleh Perdana Menteri.

“Untuk memastikan JAC bebas dalam melaksanakan tanggungjawab, Beta mencadangkan agar pelantikan lima ahli-ahli JAC tidak dibuat oleh Perdana Menteri.

“Sebaliknya ia diberi kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

“Dengan kaedah sebegini, keanggotaan JAC akan lebih seimbang, dan tidak membawa kepentingan mana-mana pihak,” kata Baginda.

Dalam kenyataan yang sama, Tuanku Muhriz turut mencadangkan supaya struktur JAC turut dinilai semula dengan rundingan dibuat antara kerajaan, ahli-ahll JAC sedia ada dan badan-badan guaman serta institusi-institusi atau ‘stakeholders’ lain yang relevan.

Sekiranya semua ini dilaksanakan, Baginda yakin JAC akan mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan dan menjadikan pemilihan serta pelantikan hakim-hakim di Malaysia adalah di kalangan individu yang berkeperibadian mulia, telus dan adil. — DayakDaily