Pengecualian visa 30 hari rancakan industri pelancongan — Abdul Karim

Abdul Karim (duduk tengah) pada sidang media di Kuching hari ini (5 Dis 2023).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 5 Dis: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yakin pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China akan merancakkan lagi industri pelancongan.

Namun demikian, katanya, ia perlu dilaksanakan dengan berhati-hati agar tidak mendatangkan masalah kepada negara.


“Pengecualian ini satu perkara yang baik, namun kita juga dimaklumkan bahawa ramai pendatang dari China yang kita tidak tahu.

“Pihak Imigresen mungkin tidak tahu dimana mereka; rekod masuk ada tetapi tiada rekod keluar.

“Kita perlu lebih berhati-hati mengenai mereka yang datang,” kata Abdul Karim.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai merasmikan Perhimpunan Agung Tritahunan (TGM) Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas), bagi mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.

Tambah beliau, ia adalah sesuatu yang mengembirakan jika pengecualian visa membantu meningkatkan kemasukan pelancong.

Ujar beliau, bayaran permohonan visa dalam kadar RM100 dari China dan mereka perlu membayar yuran pemprosesan.

“Mengecualikan RM100 ia menjimatkan banyak kos yang mungkin menggalakkan lebih ramai yang datang.

“Jika ini dapat membantu industri pelancongan dengan lebih ramai, sudah pasti saya pun gembira,” kata Abdul Karim yang juga Presiden Saberkas.

Beliau menjelaskan, industri pelancongan tidak harus melihat kepada China sahaja tetapi negara lain seperti Taiwan, Singapura, Brunei, Thailand dan bahagian lain terutamanya ke pasaran Eropah.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, Saberkas kini dalam usaha mengemaskini program yang dianjurkan bagi memenuhi kehendak belia masa kini.

Ujarnya, pada masa kini kehendak belia berbeza berbanding era 50 tahun selepas penubuhan Saberkas, yang mana kini semuanya lebih canggih termasuk digitalisasi. — DayakDaily