Penemuan ahli perniagaan yang ditemui mati tergantung disyaki ada kaitan dengan kes mayat dalam beg bagasi

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

KUCHING, Julai 21: Seorang ahli perniagaan ditemui mati dalam keadaan tergantung di sebuah pejabat di Jalan Pending di sini semalam.

Mayat lelaki berusia 39 tahun itu dijumpai mati oleh pekerjanya kira-kira pukul 10.16 pagi.


Menurut sumber, kes yang disyaki bunuh diri itu menimbulkan persoalan mendakwa kes ini ada kaitan dengan penemuan mayat seorang lelaki yang diletakkan di dalam beg bagasi yang dijumpai di Kampung Pangkalan Bau, Jumaat lepas.

Bagaimanapun, kata sumber, kes ini masih dalam proses siasatan sama ada ia ada kaitan dengan kes mayat lelaki dipercayai mayat seorang pemilik kedai jahit pakaian atau sebaliknya.

“Siasatan awal di tempat penemuan mayat ahli perniagaan di Pending itu tidak menemui sebarang kes jenayah.

“Jadi, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat dikeluarkan kelak,” katanya di sini hari ini.

DayakDaily sebelum ini melaporkan misteri identiti lelaki yang ditemui mati di dalam sebuah beg bagasi di bawah jambatan Kampung Pangkalan Bau hampir pasti diketahui.

Mayat lelaki itu disyaki adalah pemilik salah sebuah kedai jahit pakaian di pusat bandar raya Kuching.

Namun belum ada pengesahan lagi daripada pihak berkuasa berhubung identiti mangsa setakat ini.

Penduduk kampung telah menemui beg bagasi tersebut dalam keadaan terapung dan mencurigakan kira-kira pukul 6 petang.

Apabila beg bagasi itu ditarik ke tebing sungai, didapati terdapat darah keluar dari beg tersebut.

Sementara itu, polis mengesahkan telah melakukan satu tangkapan ke atas seorang lelaki bagi membantu siasatan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — DayakDaily