Penduduk Samariang disaran mencipta produk kuih muih segera dengan potensi pasaran sedunia

Abang Johari (dua dari kanan) melancarkan Cendol Segera Kampung Sungai Bedil ketika perasmian Fiesta Samariang di Simpang Empat, Kampung Lintang, Petra Jaya.

KUCHING, Jan 6: Kerajaan negeri menyarankan penduduk Kampung Sungai Bedil dan kampung lain sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang di bandaraya ini berusaha mencipta pelbagai produk kuih muih segera yang boleh dipasarkan ke seluruh dunia.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ini berikutan penduduk Kampung Sungai Bedil telah ada mencipta produk kuih segera iaitu cendol segera dan yakin produk tersebut boleh dipasarkan sehingga ke seluruh dunia seperti mi segera.

“Itu hanya cendol segera, belum lagi (dicipta) kuih muih segera yang lain; sebab inilah kita dalam kerajaan negeri menekankan industri makanan (diceburi penduduk kampung),” katanya ketika merasmikan acara Fiesta Samariang di Simpang Empat, Kampung Lintang, Petra Jaya, di sini, semalam.


Abang Johari sehubungan itu menyarankan penduduk Kampung Sungai Bedil mendaftarkan ciptaan cendol segera terbabit sebagai harta intelek milik mereka dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyPO).

“Kalau sudah ada harta intelek, ianya akan menjadi bahan makanan yang dapat kita dapat perluaskan (pasarannya), kalau mi segera boleh sedunia, apa salah cendol segera juga sedunia,” katanya.

Abang Johari berkata setelah didaftarkan sebagai harta intelek langkah seterusnya ialah penduduk kampung mula menjual produk tersebut di pasaran menerusi bantuan dari agensi kerajaan termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Cendol Segera Kampung Sungai Bedil berkenaan telah menerima tiga anugerah pada Hari Inovasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pada Oktober 8-10, 2018 iaitu Anugerah Inovasi, Anugerah Emas dan Anugerah Persembahan Terbaik.

Pengerusi Kejiranan Mesra Kampung Sungai Bedil Besar, Zamahari Saidi (kiri sekali) bersama ahli jawatankuasa Projek Cendol Segera dan produk terbabit semasa Perasmian MAHA 2018 pada November 22, 2018 di Serdang, Selangor.

Produk terbabit merupakan hasil inisiatif Projek KomunitiKU Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dimana ini merupakan usahasama diantara Kejiranan Mesra Kampung Sungai Bedil Besar, DBKU dan MARDI Sarawak selaku agensi penyelidik.

Projek KomunitiKU itu telah membantu komuniti di kawasan DBKU iaitu Kejiranan Mesra Kampung Pulau Salak dengan produk Madu Kelulut, Kejiranan Mesra N8 Satok (Fertigasi Cili), Kejiranan Mesra Kampung Kudei / Patingan (Ternakan Ikan Talapia), Kejiranan Mesra Kampung Muara Tebas (Fertigasi Cili Berpusat), Kejiranan Mesra Kampung Sungai Bedil Besar (Cendol Segera Sungai Bedil), Kejiranan Mesra Kampung Sungai Midin (Acar Timun Tumis Sarawak) dan Kejiranan Mesra Kampung Muara Tebas (Perusahaan Ikan Masin). — DayakDaily