Penduduk rumah panjang Bada tinggal sehelai sepinggang

Kelihatan api sedang marak membakar rumah panjang tersebut.

SONG, Sept 29: Para penduduk yang menetap di Rumah Panjang Bada di Sungai Song di sini tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman berkenaan musnah terbakar.

Kejadian kira-kira pukul 6.25 pagi tadi mengakibatkan kesemua 16 buah pintu rumah panjang jenis kekal tersebut ranap dijilat api.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.28 pagi.

Jelasnya, sejurus itu, sepasukan tujuh anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

Kejadian berlaku kira-kira 6.25 pagi.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan mengalami kesukaran untuk ke lokasi kejadian disebabkan paras air sungai yang cetek.

“Anggota bomba kemudian memohon bantuan daripada penduduk kampung bagi menggunakan perahu panjang untuk ke rumah panjang tersebut,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, pasukan bomba telah sampai di lokasi kejadian pada pukul 7.04 pagi.

Katanya, pemeriksaan mendapati kesemua penghuni rumah panjang tersebut berjaya keluar menyelamatkan diri.

“Tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kebakaran itu.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya.Ā ā€” DayakDaily