SMK Marudi juara Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak 2018

Dr Abdul Rahman (dua kanan) menyerahkan replika cek kepada guru pengiring SMK Marudi.

KUCHING, Sept 29: SMK Marudi membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 setelah muncul juara Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak 2018.

Kejayaan manis itu hadir selepas menewaskan SMK Agama Matang 2 dengan usul “Media Sosial Merancakkan Kreativiti”.

Manakala, pembahas terbaik pula disandang Mitchelle Birai dari SMK Marudi.


Majlis penyerahan hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Menteri Muda Utiliti, Dr Abdul Rahman Junaidi di Auditorium RTM.

Beliau hadir mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam majlis tersebut.

Dr Abdul Rahman (berdiri tengah) merakamkan gambar bersama para finalis Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak 2018.

Berucap dalam majlis itu semalam, Dr Abdul Rahman berkata pertandingan bahas merupakan platform terbaik bagi melahirkan kumpulan pelajar yang berketerampilan serta mampu menguasai pelbagai kemahiran.

Jelas beliau, para pelajar yang terlibat dengan aktiviti bahas dilihat mampu bergerak lebih jauh dan mudah menempatkan diri di alam universiti atau pekerjaan kelak.

“Sebagai sebuah negeri yang bergerak maju Sarawak memerlukan ramai pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah menguasai pelbagai kemahiran.

“Ini kerana kerajaan negeri sentiasa menitik beratkan pelbagai bidang dalam usaha ke arah Sarawak mencapai status maju menjelang 2030,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Abdul Rahman memberitahu, kerajaan negeri juga berhasrat untuk melahirkan ramai pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga dalam bidang sukan, kebudayaan dan keseniaan.

Katanya, bidang pendidikan sangat penting dalam kehidupan kerana kecemerlangan dalam pendidikan merupakan syarat untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.

“Ini kerana, para pelajar yang cemerlang menjadi pemangkin kepada kemahuan serta pembangunan negara,” katanya lagi. — DayakDaily