Penduduk Miri digesa muat turun MySejahtera untuk daftar program Vaksinasi Covid-19

Kelihantan Lee (baju merah) ketika menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri.

KUCHING, 21 Feb: Penduduk di Miri diminta untuk memuat turun dan seterusnya mengatifkan notifikasi dalam tetapan telefon bimbit aplikasi MySejahtera bagi memudahkan tujuan pendaftaran serta pemberitahuan program Vaksinasi Covid-19 di Bahagian Miri.

Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin berkata, makluman bagi temujanji untuk pemberian vaksin akan diberikan menerusi aplikasi MySejahtera dan penerima vaksin perlu menghadirkan diri mereka ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pada masa yang telah ditetapkan.

Katanya, bagi mereka yang tidak mempunyai aplikasi terbabit, kerajaan turut menyediakan empat saluran bagi mereka mendaftarkan diri untuk program tersebut.

“Mereka ini (tiada aplikasi MySejahtera) boleh mendaftarkan diri mereka melalui pejabat-pejabat daerah, Ketua Kaum iaitu Ketua Kampung, Kapitan dan Tuai Rumah yang akan dibantu oleh JKKK masing-masing, Jawatankuasa Penduduk (RC) (Majlis Bandaraya Miri, Majlis Daerah Subis, Majlis Daerah Marudi) atau mendaftar di klinik kesihatan yang berdekatan bagi yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Lee yang juga menteri bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri berkata, vaksin Covid-19 yang diterima oleh Malaysia dijangka akan tiba di Miri pada 6 Mac nanti.

Jelas beliau, pemberian vaksin berkenaan akan dilaksanakan dalam tiga fasa dengan Fasa I membabitkan petugas barisan hadapan yang akan dilakukan bermula Mac sehingga April 2021.

“Bagi Fasa II dan Fasa III yang dikhususkan untuk 80 peratus populasi di Miri yang berumur 18 tahun ke atas akan diberikan bermula April 2021 sehingga Ogos 2021 di tujuh fasiliti pemberian vaksin yang telah ditetapkan untuk semua daerah dalam Bahagian Miri,” katanya.

Tambah Lee, pengambilan vaksin tersebut penting untuk mengawal penularan wabak Covid-19 kerana suntikan vaksin tersebut berupaya membantu dalam membentuk antibodi bagi melawan wabak terbabit.

“Ini akan memberikan imuniti berkelompok (‘herd immunity’) yang cukup untuk mencegah kejadian penyakit Covid-19 yang lebih teruk dan melindungi semua lapisan masyarakat secara umumnya,” katanya.

Lee dalam pada itu turut mengingatkan agar semua pihak menjalankan peranan masing-masing untuk membantu JPBB Miri menghentikan penularan wabak Covid-19 dan seterusnya mengembalikan Miri kepada status hijau.

“Kejayaan yang ingin dicapai memerlukan semua pihak untuk memberi kerjasama dan memainkan peranan masing-masing sebagai pemimpin akar umbi, masyarakat serta belia dan saling memperingati antara satu sama lain.

“Apabila kita kembali kepada status hijau, kita boleh menjalani kehidupan dengan normal dan secara tidak langsung, ekonomi akan pulih. Komuniti adalah benteng barisan hadapan dalam membendung wabak Covid-19,” jelas beliau. ā€” DayakDaily