Musim udang bubok Kuala Baram menjadi tarikan pengunjung setempat

Abdul Mutalib, nelayan Kampung Kuala Batu Satu.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 21 Feb: Musim udang bubok kini kembali dan ianya sememangnya ditunggu masyarakat setempat.

Tinjauan DayakDaily di Pasar Nelayan Kampung Kuala Batu Satu, Kuala Baram mendapati lambakan udang bubok menjadi tarikan utama pengunjung setempat datang ke sini sejak lima hari yang lalu.


Sebaik sampai di lokasi, kereta peminat udang bubok kelihatan sudah berbaris panjang, sepanjang lebih 20km dari Pasar Nelayan Kuala Batu Satu, Kuala Baram.

Bagi nelayan tempatan, musim ini merupakan “bonus” atau lubok rezeki menjana pendapatan.

Malah, penjualan udang bubok mampu menjana pendapatan sebanyak RM2,000 sehari ketika waktu puncak terutama di hujung minggu.

Rata-rata bubok yang mendarat dibawa nelayan dari laut ke gerai-gerai di pasar berkenaan habis terjual seperti ‘pisang panas’ dalam sekelip mata sahaja.

Kebanyakkan pelanggan setia menanti di ‘pintu’ utama bot-bot nelayan masuk membawa udang bubok, dan ada juga yang sudah membuat tempahan awal kerana bimbang bekalan habis.

Peminat udang bubok membanjiri Pasar Nelayan Kuala Batu Satu.

Seorang nelayan, Abdul Mutalib, 53,  memberitahu, pada waktu puncak, bubok yang dibawanya terjual tidak sampai 15 minit selepas sampai di daratan.

Baginya, pendapatan hasil jualan udang bubok sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban beliau sekeluarga terutama semasa waktu yang mencabar ini kerana Covid-19.

“Syukur, pendapatan hasil jualan udang bubok ini dapat saya gunakan untuk membuat pembayaran yang tertunggak, semalam (Sabtu), saya berhasil menangkap lebih dua tan udang bubok dan tidak sampai beberapa minit, ianya habis terjual,” ujarnya.

Namun, hari ini, kerana keadaan cuaca yang agak berangin, hasil tangkapan Abdul Mutalib agak kurang berbanding semalam. Harga bubok hari ini (Ahad) adalah RM10kg.

Tiap kali musim udang bubok, sudah semestinya Miri menjadi tumpuan kerana rasanya lebih sedap.

Tahun ini, musim udang bubok di Miri tiba agak lewat, iaitu di pertengahan Februari. — DayakDaily