Penduduk Kuching digesa jangan gunakan kunci murah untuk mengunci harta benda

Lau (dua dari kiri) bersama ahli Persatuan Kepolisan Komuniti Sarawak menyampaikan risalah pencegahan jenayah kepada peniaga di majlis Kepolisan Komuniti bersama Komuniti di Pasar Stutong, Tabuan Jaya.

KUCHING, April 21: Persatuan Kepolisan Komuniti Sarawak meminta penduduk bandar raya ini tidak mengunakan kunci yang berharga hanya sekitar RM10 dan tidak berkualiti tinggi bagi mengunci pintu rumah, pintu pagar ataupun kenderaan mereka.

Pengerusinya Datuk John Lau Pang Heng berkata demikian kerana tinjauan pihaknya mendapati ramai warga bandar raya ini mengunakan kunci yang murah harganya tetapi mereka tidak menyedari kunci itu mudah dipecahkan pencuri.

“Janganlah membeli kunci yang murah; beli yang paling mahal dan sukar dipecahkan pencuri. Kami mendapati ramai warga bandar raya ini mengunakan kunci rumah murah yang berharga sekitar RM10 yang dikhuatiri senang sahaja dipecahkan pencuri,” katanya ketika menghadiri majlis Kepolisan Komuniti bersama Komuniti di Pasar Stutong, Tabuan Jaya, di sini, hari ini.


Di majlis tersebut, ahli persatuan bersama anggota polis Balai Tabuan Jaya diketuai Sarjan Major Beruin Benti mengedarkan risalah pencegahan jenayah kepada peniaga dan pengunjung pasar terlibat.

Lau berkata pihaknya sehubungan itu mengalakkan penduduk bandara raya ini mengunakan kunci berkualiti tinggi sahaja walaupun harganya agak mahal sehingga ada mencecah ratusan ringgit bagi melindungi harta mereka itu dari pencuri.

“Ini seperti kunci pintu rumah saya yang berharga sehinga RM120; kunci terbabit tidak dapat dipecahkan pencuri walaupun dipukul dengan amat kuat,” katanya.

Selain pintu dan pagar rumah, beliau juga menyarankan kunci mahal dan berkualiti tinggi digunakan pemilik motosikal bagi mengunci motosikal mereka kerana tinjauan pihaknya mendapati jenayah kecurian motosikal yang paling banyak berlaku di bandar raya ini.

“Selain itu pemilik motosikal juga sebolehnya meletakkan kenderaan mereka itu di tempat parkir yang terang dan tidak tersembunyi dari orang ramai,” katanya.

Beliau berkata ketika ini kejadian jenayah berkurangan di bandar raya ini namun menjelaskan sekiranya keadaan ekonomi negara menjadi teruk mungkin ada yang akan terdesak melakukan jenayah. — DayakDaily